IPOH: Aktiviti kebajikan dan rutin membantu masyarakat yang dilakukan wanita besi ini bukan bermusim, tetapi sudah sebati dalam dirinya sejak dulu lagi.

Walau dihujani pelbagai dugaan mahupun cemuhan ketika meneruskan kelangsungan kerja amal, Wan Norashikin Noran atau mesra disapa Mama Puteri sentiasa membulatkan tekadnya.

Jika difikirkan tidak perlu dia bersusah payah meminta sana sini untuk membantu orang lain, kerana itu bukanlah tugas hakikinya.

Namun dia sentiasa mahu meringankan beban yang ditanggung insan kurang berkemampuan, demi membantu sesama manusia.

Keputusan untuk bersara awal atau secara tepatnya meletakkan jawatan sebagai penjawat awam kira-kira empat tahun lalu merupakan pilihan paling tepat buat dirinya.

"Sebelum ini saya berkerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di sebuah sekolah di Klebang, Ipoh. Kemudian saya mengambil keputusan untuk bersara pilihan pada tahun 2018.

"Salah satu sebabnya jiwa saya lebih ke arah kerja kebajikan di samping faktor kesihatan yang tidak begitu mengizinkan waktu itu.

"Saya bekerja lebih 18 tahun sebagai penjawat awam, dan bagi saya tiada istilah menyesal dengan keputusan itu. Kerana saya dan keluarga tahu, itu yang terbaik dan tepat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja amal yang digerakkan selama ini, Wan Norashikin berkata dia mula berjinak-jinak dalam bidang ini ketika banjir besar melanda negara.

"Masa itu saya masih bergelar penjawat awam, dalam hati fikir macam mana nak sertai kerja amal bantu orang ramai yang terkesan banjir.

"Kemudian saya ada ternampak makluman di televisyen tentang misi bantuan dan sukarelawan, dari situ saya kumpul barangan bantuan menerusi sumbangan rakan-rakan dan bergerak sendiri ke Kuala Lumpur.

"Saya naik kereta api dan bawa barang bantuan dengan gerabak, masa itu dalam hati memang nak bantu orang walaupun seorang diri," katanya yang kini menetap di Chemor.

Kata ibu kepada empat orang cahaya mata ini lagi, naluri membantu orang dalam kesusahan itu terbit sejak dia menguruskan hal ehwal pelajar ketika di sekolah lagi.

"Masa mula-mula ditempatkan sebagai pembantu tadbir, saya memang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal pelajar.

"Dari situ saya nampak ramai pelajar yang tiada wang saku untuk makan, ada yang latar belakang keluarganya ibu tunggal.

"Selalu juga saya ikut wakil sekolah ke rumah-rumah pelajar untuk hantar sumbangan," katanya.

Sejurus berhenti daripada kerjaya itu, dia mula membuka sebuah rumah dinamakan Rumah Singgah Kita, yang menumpukan kepada remaja perempuan yang terlanjur atau bermasalah.

Bermula detik itu katanya, dia mula digelar Mama Puteri oleh anak-anak di bawah jagaannya.

Namun percaya atau tidak, di situlah bermulanya cabaran dan dugaan yang menjadikan dia tabah dan cekal sampai sekarang.

"Pada mulanya saya buka rumah itu untuk ibu tunggal yang didera suami atau tiada tempat tinggal.

"Selepas itu ia meluas kepada remaja yang hamil anak luar nikah, ini daripada permintaan mereka sendiri yang sukarela mahu berteduh di situ.

"Saya terima sebab niat mahu membantu, dan tujuan utamanya untuk elakkan mereka ulangi perbuatan itu atau terjadinya kes buang bayi.

"Malangnya hari demi hari segelintir individu mula mencemuh usaha saya, dengan alasan saya menggalakkan maksiat. Dan memberitahu remaja yang terlanjur itu patut dihukum," ulasnya lanjut.

Lama kelamaan katanya, dia tiada pilihan lain selain menutup rumah yang telah beroperasi selama dua tahun itu, disebabkan kekangan dari pihak tertentu.

"Bukan maksud saya mengalakkan perbuatan itu (maksiat) atau sebagainya, tetapi pada saya kalau mereka datang untuk minta tolong kita kena bantu selamatkan.

"Sebabnya kalau dia bermasalah dan sering ulangi perbuatan itu, dia takkan kisah dan gugurkan saja (kandungan) atau buang merata-rata.

"Tapi situasi ini berbeza, mereka yang datang kepada saya ini naif dan pertama kali terlanjur, kebanyakan kes yang saya dapat ialah pelajar yang terlanjur, kemudian mengandung," katanya.

Katanya lagi, mereka yang datang ke rumah tersebut semestinya perlu mematuhi syarat dan aktiviti yang dianjurkan, demi kebaikan masing-masing.

"Mereka kena maklumkan kepada ibu bapa atau ahli keluarga berhubung hal itu, selama saya buka rumah itu saya sempat jaga 21 orang.

"Kami anjurkan kelas fardu ain untuk mereka, ada motivasi daripada kaunselor jemputan dan saya didik mereka sama macam saya didik anak sendiri.

"Alhamdulillah, sepanjang mereka di situ sudah enam orang daripadanya dinikahkan, ada yang sambung belajar dan bekerja. Hubungan antara kami tak pernah putus," katanya.

Kini dia tidak mahu berpaling lagi dan membuka lembaran baharu, kerja amal yang tergendala sementara waktu akibat kekangan itu diteruskan dengan badan bukan kerajaan (NGO), Puteri Kebajikan Perak.

Katanya, NGO ini hanya membabitkan ahli keluarganya iaitu anak-anak termasuk suami, Ismail Ahmad Razali, 64.

Tidak menafikan tanggapan segelintir orang ramai yang menyifatkan kerja-kerja kebajikan ini sebagai 'scammer', dia menjelaskan semuanya terpulang kepada diri masing-masing.

Sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini, kebanyakan sumbangan dan bantuan diterima daripada rakan-rakan dan bekas rakan sekerja dahulu, semuanya hanya menerusi Whatsapp.

"Yang mana kenal saya, mungkin tahu apa yang saya kerjakan. Tiada istilah ambil duit orang ramai untuk kepentingan peribadi.

"Syukur saya dikelilingi sahabat dan kenalan yang baik-baik. Mereka sering respon bila saya letak status di Whatsapp untuk cukupkan infak atau sumbangan kepada yang memerlukan.

"Buktinya, saya akan letakkan aktiviti sumbangan yang digerakkan bukan saja di Perak tetapi di merata negeri, di laman Facebook untuk elakkan sebarang keraguan," katanya.

Antara jenis bantuan yang dihulurkan seperti katil, mesin oksigen dan kerusi roda, tidak terkecuali infak untuk majlis makan anak-anak yatim dan sebagainya.

Ditanya apa kepuasan yang dicapai melalui kerja tanpa gaji ini yang kadangkala tidak mendapat penghargaan orang lain, Wan Norashikin berkata semuanya kerana Allah.

"Ada juga yang kata pada saya, letih tengok saya ke hulur ke hilir nak bantu orang. Sebenarnya orang yang pernah lalui saja yang akan rasa ia perlu (bantuan).

"Niat saya hanya nak mudahkan urusan orang lain, saya akui saya tidaklah banyak duit tapi alhamdulillah semua urusan saya dan keluarga dipermudah oleh Allah," jelasnya lagi.