MANJUNG - Parti Bersatu Bahagian Lumut menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk dan komuniti setempat sekitar daerah ini minggu lalu.

Ketua Srikandi Bahagian Lumut, Norhaslinda Zakaria berkata, pemberian Jalur Gemilang itu bagi menyampaikan mesej cintakan negara kepada masyarakat setempat.

Katanya, ia juga untuk memupuk semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah bagi meraikan hari kebesaran negara itu.

"Bila tiba sahaja setiap tahun bulan Ogos, pelbagai program berkaitan dgn sambutan kemerdekaan akan diadakan bagi memupuk semangat cintakan negara.

"Hari ini Program Penyerahan Bendera Malaysia kepada sebahagian Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang anjuran Bersatu Bahagian Lumut," katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Bahagian Bersatu Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail dan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Lumut.

Antara JPKK yang terlibat ialah bagi kawasan
Kayan, Batu 14, Batu 10, Batu 9, Batu 8, Sungai Tiram, Pasir Pandak, Pasir Panjang, Kampung Dato Seri Kamarudin dan wakil dari Seri Manjung.

Menurut Norhaslinda, tema Hari Kemerdekaan 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama
membawa pengertian yang besar betapa pentingnya keteguhan dan muafakat dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Nasib negara dan bangsa kita tidak akan berubah, jika kita tak mengubahnya.

"Justeru, marilah kita bersama berjuang memperbaiki diri agar bermanfaat untuk semua," ujarnya.