KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini mengambil langkah proaktif dalam usaha mendedahkan pelajar dan tenaga pelajar ke peringkat antarabangsa.

Dalam usaha merealisasikan misi pengantarabangsaan universiti, USAS telah menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan empat organisasi termasuk dua universiti antarabangsa baru-baru ini.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata MoU tersebut melibatkan USAS dengan Universiti Antarabangsa Malaya – Wales (IUMW) dan Jakarta Business School.

"Peranan utama USAS adalah mendidik, meningkatkan, melanjutkan pengetahuan dan pengalaman mahasiswa selaras dengan misi USAS untuk menghasilkan para graduan yang cemerlang melalui program pengajian yang berkualiti berasaskan pengintegrasian nilai Islam dalam ilmu professional.

"Dalam bidang penyelidikan pula, USAS bersedia untuk menyediakan suasana yang kondusif bagi para sarjana untuk meneroka,memperkukuh dan memperbaharui kebenaran melalui aktiviti penyelidikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan di kampus IUMW, Kuala Lumpur.

IUMW telah diwakili oleh Prof Dr Kamila Ghazali sementara Jakarta Business School diwakili oleh Dr. Hamdan Zoelva manakala USAS diwakili Nordin.

Tambah Nordin, MoU memberi peluang kepada USAS untuk bekerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan.

"MoU ini juga akan memberi ruang dalam pertukaran tenaga pengajar dan pelajar terutamanya dalam era pasca pandemik COVID-19 ini.

"Ia pasti akan memberi nilai tambah kepada pelajar USAS serta meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

IUMW ditubuhkan pada 2012 berdasarkan kerjasama antara Universiti Malaya (UM) dan University of Wales.

Manakala Jakarta Business School pula ditubuhkan pada tahun 2021 yang komited untuk melahirkan usahawan dan profesional muda yang memiliki kearifan lokal, wawasan global dan mempunyai kualiti antarabangsa.

Dalam majlis yang berlainan USAS turut menandatangani MoU bersama Han Culture Centre (M) Sdn Bhd dan International Academy untuk tujuan yang sama di IDEAS Kuala Lumpur.