Lumut- Program Lumut Merdeka Swim 2022 (PLMS 2022) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 bakal memeriahkan sektor pelancongan negeri disamping memberi manfaat serta mampu melonjakkan ekonomi penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Nolee Ashilin Dato' Mohamed Radzi berkata LMS 2022 membawa mesej simbolik iaitu ‘swim away from Covid-19’ sepertimana negara kini semakin pulih dari ancaman Covid-19.

“Lumut merupakan lokasi terbaik untuk mengadakan acara LMS 2022 kerana ia sememangnya dikenali sebagai kawasan maritim. LMS 2022 merupakan acara renang sejauh 23 kilometer melibatkan 136 orang perenang yang terdiri dari kanak-kanak dan dewasa. 

“Perenang akan memulakan renangan dari Teluk Batik pada 27 Ogos ini dan akan bermalam di Pasir Bogak untuk menjalankan beberapa acara yang telah dirancang. Manakala esoknya (28 Ogos 2022)  renangan akan dimulakan dari Pulau Mentagor dan berakhir di Jeti Terapung Lumut,” katanya dalam sidang media di Mahkota Dewa Cafe di The Treasure @ Taman Herba, semalam.

Program selama dua hari ini akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti pembersihan Pantai Bogak, penceriaan Lumut bandar tentera laut, colours guard, sunset ceremony, simfoni deru laut biru, pertunjukan brassband, tarian tempur/tempur tanpa senjata dan persembahan seni budaya.

Disamping itu, cabutan bertuah berjumlah hingga RM 10,000.00 yang ditaja oleh Bank Islam Malaysia turut memeriahkan suasana.  

Sementara itu, Panglima Pendidikan dan Latihan, Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Dato’ Anuar Mohamed berkata LMS 2022 merupakan salah satu tonggak bagi Keluarga Malaysia di mana acara itu bukan sahaja terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, malah pelbagai lapisan umur.

“Selain itu acara ini merupakan tanda kebersamaan Majlis Pembandaran Manjung (MPM)

dan TLDM dalam mengiktiraf dan mengangkat Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim pada 24 April 2009 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Azlan Shah bersempena dengan Jubli Perak Pemerintahan baginda di Negeri Perak untuk yang ke-25 tahun.

“Jabatan-Jabatan Kerajaan lain juga tidak ketinggalan dalam memastikan kelancaran program antaranya ialah Pejabat Daerah Dan Tanah Manjung, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kerja Raya serta Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” ujarnya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Pembandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh.