Ipoh- Lantunan kelunakan suara dan persembahan bersahaja menobatkan Nurhazikah Hanafi, 27, sebagai juara dalam Pertandingan Akhir Cover Lagu Cintaku Di Negeri Perak dengan menewaskan enam peserta lain.

Kemenangan yang diraihnya itu sekaligus melayakkan dirinya untuk membuat persembahan di Malam Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022 di Dataran Dewan Bandaraya Ipoh yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2022.

Menurut Nurhazikah, beliau tidak sama sekali menduga akan kemenangannya memandangkan persaingan yang sengit dari peserta-peserta lain.

“Saya tertarik menyertai pertandingan ini kerana saya sukakan lagu Cintaku Di Negeri Perak yang mampu membuat para penonton menyanyi bersama-sama selain melodinya yang menarik perhatian pendengar.

“Peluang untuk menyanyikan semula lagu ini di Malam Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022 nanti membuatkan saya sangat teruja. Terima Kasih kepada Tourism Perak yang membuka peluang kepada saya pada malam itu nanti,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual selepas diumumkan sebagai johan Pertandingan Akhir Cover Lagu Cintaku Di Negeri Perak di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak (JKKN), semalam.

Nurhazikah berasal dari Kajang, Selangor menerima replika cek RM3,000. Beliau juga merupakan seorang penyanyi yang pernah muncul sebagai johan Suara Panggung Peringkat Nasional 2019 dan finalis Suara Viral yang akan ditayangkan pada minggu hadapan di Astro Prima.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata beliau menerima 14 penyertaan setelah diiklankan menerusi laman sosial FB Tourism Perak pada 1 Ogos 2022 lalu.

“Setelah disaring hanya tujuh sahaja peserta yang layak ke peringkat akhir. Antara kriteria yang diwajibkan pada pertandingan ini peserta diwajibkan menyertakan sekali video nyanyian mengikut kreativiti tersendiri dengan berlatar belakangkan lokasi-lokasi pelancongan di negeri Perak.

“Secara rasmi majlis penyampaian hadiah kepada pemenang akan dilangsungkan pada 31 Ogos oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam satu majlis jamuan teh,” ujarnya.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima replika cek iaitu peserta dari Bidor, Noorhidayah Halim, 31, RM2,000 dan tempat ketiga peserta dari Ipoh, Shahrul Izwan Jamil, 31, RM1,500.

Juri pertandingan pada petang itu telah diadil oleh Nurmalis Musa, Mohd. Fairuz Selamat dan Syed Zarul Hisham. -Peraktastic-