IPOH- “Saya tidak sama sekali menyangka nama ‘Jaguh’ terpilih untuk baby pertama Jiwang dan Juwita yang berusia dua bulan.”, begitulah terharunya Siti Sarah Che Dan, 31, yang memenangi pertandingan menamakan anak badak air diTaman Tema Air Lost World Of Tambun (LWOT).

Menurut Siti Sarah yang berasal dari Puchong, Selangor, idea untuk menyertai pertandingan itu setelah melihat iklan yang disiarkan melalui laman rasmi Facebook LWOT pada minggu pertama bulan Ogos lalu.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan nama Jaguh. Hanya dua hari sahaja saya memikirkan nama itu selain nama Jejaka dan Johan.

“Nama Jaguh terbit di pemikiran saya setelah mengkaji nama emak dan ayahnya iaitu Juwita dan Jiwang yang lebih cenderung kepada nama Melayu klasik.

“Setelah itu saya memutuskan, nama Jaguh adalah paling sesuai selain mengekalkan huruf ‘J’ yang sama. Jaguh melambangkan kekuatan dan ketua untuk anak yang pertama.

“Terima kasih kepada pihak LWOT kerana memilih nama Jaguh sebagai pemenang dan saya berharap Jaguh dapat terus membesar dengan sihat di LWOT yang mengekalkan habitat kehidupan asal haiwan,”  katanya kepada Peraktastic selepas menerima hadiah dari  Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho sempena Majlis Berendoi di LWOT baru-baru ini.

Siti Sarah menerima hadiah berupa penginapan dua hari satu malam di Malayana Floating Villa bernilai RM1,473 bersama BBQ berharga RM150 dan sarapan pagi.

“Kami sekeluarga tidak sabar untuk bercuti ke LWOT yang sememangnya salah satu lokasi pelancongan yang terkenal di Bandaraya Ipoh.

“Bercuti di LWOT semuanya ada selain dari permainan air dan darat ia juga dikelilingi kehijauan alam semujadi yang diiktirafkan sebagai salah satu Geopark di Lembah Kinta,” ujarnya. -Peraktastic-