IPOH - Penduduk di Jalan Jelapang 8A di sini merasa sangat gembira apabila hasrat mereka agar ada pihak dapat membantu membaiki keadaan jalan tar yang rosak terlaksana.

Ini kerana keadaan permukaan jalan ke kawasan kejiranan itu yang tidak elok disebabkan telah lama tidak diselenggara mengundang rasa tidak selesa.

Masalah tersebut bagaimana pun dapat diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian sekali gus melegakan penduduk.

Salah seorang penduduk, Arputha Raj, 62, memberitahu, beliau serta penduduk setempat mengucapkan terima kasih kepada Cheah atas kesungguhan menyelesaikan isu berkenaan.

"Penduduk sangat gembira apabila jalan ini telah dibina dengan baik dan kemas..

"Sebenarnya, kita telah meminta bantuan banyak kali dengan pemimpin parti politik lain, namun permintaan tidak diendahkan," ujarnya.

Menurut Arupatha, penduduk akhirnya menyuarakan masalah jalan ini kepada Ketua Rukun Tetangga Jelapang, Thinakaran yang kemudian memaklumkan kepada Cheah.

Sementara itu, Cheah memberitahu, masalah jalan tersebut telah diselesaikan dan jalan telah diturap semula agar penduduk setempat mendapat keselesaan.

"Sepertimana penduduk dan komuniti lain dalam DUN Jelapang, adalah menjadi kewajipan saya untuk membantu sebarang permasalahan yang ada.

"Oleh itu sebarang masalah jika ada bolehlah dimaklumkan terus kepada Pejabat Khidmat DUN Jelapang untuk perhatian," ujarnya.

ends//