BOTA - Demi menerapkan semangat patriotik, seorang pengusaha kek lapis di pekan Bota Kanan dekat sini mengambil inisiatif untuk menghasilkan kek lapis bertemakan Mat Kilau.

Nama pahlawan Melayu Pahang itu diabadikan pada rekaan kek lapis Mimi Rosita @Saadiah Naramu, 59, yang dilihat bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan.

Menurut wanita yang berasal dari Sibu, Sarawak ini, dia terlintas untuk menghasilkan kek tersebut setelah menonton filem Mat Kilau di pawagam yang watak tersebut dilakonkan oleh Dato' Adi Putra.

Katanya, kek tersebut menggunakan perasa Strawbery Jam dan Coffee Emulco.

"Saya cipta kek Mat Kilau ini setelah menonton filem lalu terlintas untuk hasilkan sebuah kek lapis bertemakan sedemikian

"Perasa Strawbery Jam dipilih sebagai gabungan barat manakala Coffee Emulco pula citarasa tempatan.

"Warna putih pada kek melambang Inggeris atau kuasa asing, manakala kopi menunjukkan orang-orang Melayu yang menentang penjajah manakala merah sebagai perlambangan darah dan keberanian," ujarnya kepada Peraktastic.

Mimi Rosita tidak menyangka sambutan daripada pelanggan sangat baik apabila kek lapis Mat Kilau habis dibeli sebaik diletakkan di rak jualan.

Bagaimana pun kata Mimi Rosita, dia tidak menghasilkan kek Mat Kilau semata-mata jadi tempahan untuk kek lapis perisa lain juga perlu disiapkan.

Dalam pada itu, menjadi satu-satunya pengusaha kek lapis di pekan Bota Kanan bukanlah perjalanan mudah bagi Mimi Rosita yang bemula secara kecil-kecilan 15 tahun lalu.

Kini kek lapis air tangan Mimi Rosita dicari pelanggan termasuk dari luar negeri Perak kerana rasanya yang sedap.

Menggunakan jenama Rosita, terdapat 12 jenis kek lapis yang dihasilkan seperti kek lapis Original, kek lapis Mimipine, kek lapis Kenyalang, kek lapis Oren Strawberi dan kek lapis Pandan Cheese.

Menceritakan perjalanan usahanya itu, kata Mimi Rosita, disebabkan tiada pengalaman maka dia tidak jemu mengikuti kursus dan seminar keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan.

Antaranya yang dianjurkan oleh FAMA, MARA, Jabatan Pertanian dan SME Corp.

Tujuannya adalah bagi memudahkan untuk mendapatkan pelabelan, jaringan, bantuan, penjenamaan dan sebagainya.

Beliau juga giat mempromosikan kek lapis dengan menyertai pelbagai ekspo dan pameran jualan keusahawanan termasuk di luar Perak.

Usaha gigih Mimi Rosita ternyata tidak sia-sia apabila beliau diangkat sebagai Peladang Jaya Wanita Perak 2017 manakala jualan kek lapis pula mencecah lima angka sebulan.

Terbaru, kek lapis citarasa Sarawak Mimi Rosita tersenarai sebagai produk makanan untuk dijadikan tarikan pelancongan ke Bota oleh Majlis Daerah Perak Tengah. -Peraktastic