IPOH: Suasana kawasan rekreasi popular di bandar raya ini, Bukit Kledang diceriakan dengan warna hijau, apabila lebih 400 peserta menyertai Majlis Pelepasan Merdeka Kledang Walk 2022 Zon 20.

Kesemua peserta terbabit memakai baju serba hijau bagi menghidupkan suasana program yang turut disertai oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Hadir sama,Ketua WHIP Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Clr.Mahader Ahmad Mohammad Ayob yang juga merangkap Pengerusi Penganjur Program, Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.

Rumaizi berkata program itu merupakan anjuran MBI dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon 20.

Program dimulakan dengan senam robik bagi sesi memanaskan badan serta meregangkan otot sebelum para peserta memulakan aktiviti jalan kaki.

Dalam pada itu, ujar Rumaizi, aktiviti sihat ini merupakan sebahagian daripada program yang dirangka untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan 2022.

Katanya lagi, ia juga bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

"Alhamdulillah ramai yang hadir dan sertai program sebegini. Kita mahu bersama-sama dengan masyarakat untuk lebihkan aktiviti, selain daripada tugas hakiki.

"Seperti yang umum ketahui Bukit Kledang ini antara lokasi popular untuk mereka yang mahu bersenam atau beriadah.

"Harapan saya supaya ia kekal dijadikan sebagai salah satu daya penarik pengunjung ke Ipoh, untuk lihat keindahan alam semulajadi," katanya.