TELUK INTAN - Ramai yang tidak sedar minyak masak terpakai boleh memberi pendapatan sampingan kerana bahan buangan ini dicari.

Selain boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel, minyak masak terpakai boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.

Sehubungan itu, pada Ahad lalu, program Kempen Pembelian Minyak Masak Terpakai, Kesedaran Insentif Hijau (3R) dan Penyerahan Hub Kitar Semula telah diadakan di Taman Melor 2 di sini.

Bahagian Komuniti dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dalam kenyataan memaklumkan, sesi dimulakan dengan taklimat ringkas berkaitan kempen minyak masak terpakai.

Kata kenyataan itu, syarikat terlibat iaitu RP Gilang Resources Sdn Bhd dan Anson Bio Fuel Energy LLP.

"Kemudian disusuli taklimat berkaitan Kempen 3R oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPTI, Siti Norarfah Syed Mansor diikuti pelancaran kempen minyak masak terpakai

"Seterusnya pelancaran Hub Kitar Semula kepada penduduk Taman Melor 2 dan SMK Dato Sagor oleh Setiausaha MPTI, Ramdhatun Ajma Jemail," jelas kenyataan itu.

Turut hadir Ahli Majlis MPT dan pemimpin komuniti setempat.