IPOH - Selepas 15 jam hilang, helikopter malang yang dipercayai terhempas di sebuah kawasan hutan dekat Bidor ditemui dengan juruterbangnya meninggal dunia.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pada sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Bidor pagi tadi.

Identiti juruterbang warga Hong Kong itu dikenali sebagai Tsn Kin Richard Chan, 58.

Menurut beliau, helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui di lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus pukul 9.30 pagi.

"Helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia menemui lokasi nahas sebelum anggotanya diturunkan.

"Mayat mangsa kemudiannya diterbangkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan mendarat di padang Sekolah Menengah Anderson," ujar beliau.

Semalam, media melaporkan, sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Kejadian berlaku pada pukul 12.16 tengah hari.

Helikopter swasta itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang pada jam 11.37 pagi.

Pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang.