IPOH: Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang dalam rangka kerjasama untuk menjayakan projek pembangunan bersepadu Ipoh Central.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata sehingga kini beberapa siri mesyuarat dan memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani bagi projek tersebut.

"Pihak RAC dengan SSI sedang membuat kerjasama dan beberapa mesyuarat sudah dibuat.

"MoU telah ditandatangani dan sekarang kita sedang tunggu untuk memorandum perjanjian (MoA) dalam masa terdekat.

"Projek ini sedang berjalan, selepas MoA kita akan maklumkan dan akan ada sidang media untuk hebahkan tentang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Ahad lalu media melaporkan, kerajaan akan melaksanakan projek pembangunan bersepadu Ipoh Central untuk memberi keselesaan kepada lebih 4,000 penumpang harian di Stesen Keretapi Ipoh, stesen yang paling sibuk selepas KL Central.

Dalam masa sama, bangunan warisan, termasuk stesen keretapi dan kuil-kuil yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan akan dikekalkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan juga bersetuju projek jangka panjang itu dilaksanakan secara usaha sama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada tempoh masa yang ditetapkan mengenai projek itu kerana ia memerlukan perancangan yang teliti.