IPOH: Kepakaran dan pencapaian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam menjaga sungai dengan baik di negeri ini, boleh dijadikan panduan kepada semua pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata selain itu, tanggungjawab dan sikap masyarakat juga memainkan peranan penting untuk memastikan sungai terpelihara dan tidak tercemar.

"Pertamanya soal sikap, alhamdulillah kita berjaya untuk mendidik dan berkempen supaya rakyat Perak mencintai sungai.

"Kalau kita lihat contohnya pernah tular sebelum ini, seorang cikgu di Tanjung Malim yang bersihkan sungai atas inisiatif sendiri, itu sikap yang kita mahu.

"Masa saya mesyuarat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pun memang disebut, melihat apa yang dibuat JPS Perak.

"Saya yakin JPS Perak ada kepakaran, rahsia atau petua bagaimana mereka boleh jaga sungai di negeri ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu sungai yang tercemar di beberapa negeri seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut ditanya sama ada kepakaran yang ada dalam pengurusan sungai dengan baik di negeri ini, dapat dikongsi dengan negeri lain.

Ia susulan sebelum ini dilaporkan, Perak dikenal pasti sebagai negeri paling banyak memiliki sungai terbersih yang dikategorikan sungai kelas satu di negara ini.

Semalam media melaporkan, Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di kelas lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada kelas empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Sejumlah 24 lagi sungai berdasarkan laporan itu berada di Kelas Tiga iaitu sederhana tercemar, merangkumi sungai di tujuh negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Selangor/Kuala Lumpur.