IPOH - Kejohanan Sukan Integrasi Komuniti Bandaraya Ipoh yang dianjurkan buat kali pertama melabuhkan tirainya petang tadi dalam suasana penuh keceriaan dan semangat kesukanan.

Acara sukan komuniti yang menampilkan penyertaan 24 zon dalam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia 2022 merebut Piala YAB Menteri Besar Perak.

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammnad Radzi berkata, kerjasama semua pihak yang diterjemahkan dalam kejayaan penganjuran itu dipuji.

Katanya, penganjuran kejohanan berkenaan adalah usaha untuk mencapai objektif memperkukuhkan institusi keluarga Malaysia yang berteraskan integrasi komuniti di Bandaraya Ipoh.

"Ini juga merapatkan hubungan antara Ahli Majlis, MBI dengan penduduk dan orang awam di bawah zon yang diuruskan serta meningkatkan semangat kesukanan dan perpaduan.

"Penyertaan komuniti juga dapat mewujudkan gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat," ujarnya semasa berucap pada majlis penutup kejohanan tersebut.

Nolee Ashilin hadir mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kejohanan ini telah menarik penyertaan lebih 1,000 peserta yang mewakili zon-zon MBI masing-masing.

Sebanyak lima acara sukan telah dipilih untuk dipertandingkan iaitu bolasepak: cabaran sepakan penalti, bola jaring, dart, sepak raga ratus dan tenpin boling.

Jelas Nolee Ashilin, MBI telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan kejohanan sukan selama tiga hari ini serta memilih Kompleks Sukan MBI sebagai lokasi paling strategik.

"Semoga kejohanan ini akan menjadi titik tolak untuk memperkenalkan sukan komuniti dalam mengeratkan silaturrahim.

"Ia secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kesihatan dan kecerdasan tubuh badan kita serta mengukuhkan perpaduan di kalangan seluruh penduduk di negeri Perak," ujar beliau.

Sementara itu, pasukan Zon 22 yang diketuai Kaunselor Datuk Mohd Nasri Shaari dinobatkan sebagai johan keseluruhan untuk membawa pulang hadiah berupa piala iringan dan wang tunai.

Hadiah-hadiah utama kepada pasukan dan pemenang disampaikan oleh Nolee Ashilin.