KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan dua buah bot kenka di kedudukan 0.26 batu nautika barat daya Kuala Gula, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot tersebut ditahan sekitar jam 12 tengah hari kerana telah melanggar syarat lesen.

Katanya lagi, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda APMM mengesan dua buah bot terbabit sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan dipintas serta dirapati untuk pemeriksaan.

"Berdasarkan hasil pemeriksaan di kedua-dua bot terbabit telah menemukan seramai empat kru warga tempatan, termasuk tekong berumur antara 31 hingga 62 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati kedua-dua buah bot itu mempunyai lesen yang sah namun pemilik telah melanggar syarat lesen dengan tidak mengusahakan sendiri bot tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Najhan berkata, sebanyak 100 kilogram (km) ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.

Katanya lagi, kesemua kru nelayan, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan baja di bawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat lesen," katanya lagi.

Maritim Malaysia sentiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.