IPOH - Matlamat untuk mewujudkan kawasan kejiranan bandaraya Ipoh yang bersih dan teratur terus diperkasakan menerusi agihan sebanyak 2,650 unit tong sampah bersaiz 120 liter secara percuma serentak di lima kawasan.

Antaranya Zon 13 iaitu Taman Cempaka (Fasa 1) melibatkan 1,007, rumah, Zon 9 - Taman Che Wan (312), Zon 7 - RPT Buntong 4 & 5 (385) dan Zon 15 - Taman Sinfar (492).

Agihan disempurnakan oleh Ahli Majlis bersama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon-Zon berkenaan melalui Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Kalangan Warga Ipoh.

Mereka terdiri daripada Kaunselor (Clr) Kamarulzaman Abdullah bagi Zon 13, Clr. Norul Huda Ahmad (Zon 9), Clr. Ganesan Athinarayanan (Zon 7) dan Clr. Tony Khoo Boon Chuan (Zon 15).

Sementara itu Ahli Majlis Zon 1, Clr. Datuk Mazlan Abd Rahman (Zon 1) yang juga Ketua Whip Ahli Majlis telah mengagihkan 76 tong sampah di Taman Tanjung Sentosa.

Seterusnya pada Ahad pula sebanyak 378 tong diagihkan di Kampung Cik Zainal (Fasa 2), Tanjung Murni dan Chemor Muhibbah.

Risalah bertajuk 'Penyediaan Tong Sampah Di Premis Perniagaan Dan Rumah Kediaman' turut diedarkan kepada setiap penerima tong.

Ini merupakan usaha berterusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kaedah membuang sampah dengan betul.

Amalan penggunaan tong sampah perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandar ini demi meningkatkan kualiti persekitaran sepertimana matlamat yang disasarkan MBI.