IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal memperluaskan pasukan sukarelawan Emergency Response Team (ERT) bukan sahaja di setiap rumah pangsa malah meliputi kawasan-kawasan taman perumahan.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata ERT merupakan penglibatan awam secara sukarela sebagai persediaan menghadapi bencana yang sejajar dengan usaha MBI menjadikan Ipoh sebagai Bandar Raya Bestari Sejahtera.

Pemilihan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh sebagai lokasi pelancaran pasukan ERT pertama di negeri Perak kerana ia merangkumi 12 buah blok bangunan yang terdiri daripada 584 unit kediaman dan 22 unit rumah kedai serta ketinggian bloknya tiga hingga empat tingkat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM12,252 untuk pihak MBI melaksanakan program ERT ini. Seramai 12 orang sukarelawan akan menjalani latihan asas bantuan kecemasan dari Pasukan Bomba Dan Keselamatan.

Saya percaya pasukan ERT yang terlatih mampu menangani sebarang masalah yang timbul sementara menunggu kehadirian Pasukan Bomba Dan Keselamatan ke lokasi kejadian,” kata dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Penubuhan Pasukan Emergency ResponseTeam (ERT) di Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini hari ini.

Para sukarekawan ERT turut didedahkan dengan ilmu-ilmu berkaitan pencegahan kebakaran supaya dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya kebakaran yang lebih besar di peringkat awal.

Menurut Rumaizi, komuniti tidak seharusnya mengharapkan Jabatan Bomba untuk menangani isu-isu kecemasan tanpa memberi sedikit gandingan kerjasama khususnya dalam membenteras dan mengawal kebakaran.

Pasukan ERT merupakan pendekatan terbaik mampu mengurangkan kekangan yang dihadapi oleh pihak Bomba dan memastikan persekitaran, nyawa dan harta benda terpelihara.

la memanfaatkan penduduk dalam membantu mencegah kebakaran dari pelbagai unsur seperti kecuaian, khianat, kurang ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Penglibatan komuniti setempat mampu mencegah serta mengurangkan kadar kematian dan kehilangan harta benda yang disebabkan oleh kebakaran,” ujarnya.