IPOH - Tular di media sosial sejak kelmarin berhubung satu hantaran mengenai cubaan melarikan murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan pada Jumaat lalu.

Berita tular berkenaan telah menarik perhatian masyarakat khususnya golongan ibu bapa yang bimbangkan keselamatan anak-anak mereka.

Ekoran berita tular ini, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang wanita yang juga ibu murid tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan itu dibuat pada 23 September lalu pada pukul 9.07 malam.

Katanya, susulan itu polis telah menubuhkan sebuah satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini daripada pelbagai sudut.

"Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah di sekolah.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini agar tidak menjejaskan siasatan polis," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk mengambil berat terhadap urusan menghantar dan mengambil murid mengikut ketetapan pihak sekolah.

Sekiranya mempunyai sebarang masalah mengenai urusan itu, Ibu bapa hendaklah memaklumkan kepada pihak sekolah segera.

Jelas Mohd Yusri, pihak sekolah diingatkan untuk memastikan urusan mengambil dan menghantar murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang disahkan sahaja.

"Polis juga akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan sekolah terpelihara serta telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah di seluruh negeri Perak," ujar beliau.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Norazlina Rais di talian 013-6282176 atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.