IPOH - Kempen 'Satu Rumah Satu Alat Pemadam Api' telah diadakan di Dewan Komuniti Kampung Rapat Jaya di sini anjuran Zon 21 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai inisiatif mengambil cakna betapa pentingnya mencegah kebakaran.

Ia juga untuk mengajak komuniti setempat supaya prihatin dengan aspek keselamatan di rumah.

Ahli Majlis MBI Zon 21, Kaunselor Abu Bakar Hussian berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan kempen tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial dan mewujudkan kepekaan.

"Jika mereka (orang ramai) boleh membeli kereta berharga ribuan ringgit mengapa alat pemadam yang berharga tidak sampai RM150 tidak mampu dibeli.

"Menerusi kempen ini yang mendapat kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak kita mahu timbul rasa ambil berat pasal soal keselamatan kebakaran," ujarnya.

Pada program itu, sebanyak 40 unit alat pemadam disampaikan kepada 20 penerima seperti pihak masjid, surau, sekolah rakyat dan dewan komuniti.

Demonstrasi penggunaan alat pemadam api pula telah dilaksanakan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai kepada komuniti setempat, JPKK dan JPP MBI Zon 21.