IPOH - Bagi mencapai matlamat menjadikan Ipoh lebih bersih dan hijau, masyarakat setempat hendaklah bersama-sama memainkan peranan penting masing-masing.
Aspek yang perlu diberi penekanan ialah pengurusan sampah rumah yang teratur menerusi penggunaan tong sampah.
Bagi mencapai matlamat ini, sumbangan tong sampah percuma oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perlulah digunakan sebaik mungkin dan pada masa sama dijaga dengan elok.
Semalam, sebanyak 3,416 tong sampah bersaiz 120 liter diedarkan secara percuma menerusi agihan serentak di empat kawasan MBI yang disempurnakan oleh Ahli Majlis bersama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).
Agihan ini melalui Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Kalangan Warga Ipoh.
Jumlah paling banyak adalah di Taman Klebang Restu (Zon 5) oleh Kaunselor (Clr) Dato' Azizul Kama Abd Aziz iaitu 1,245 rumah.
Zon 2 iaitu kawasan Taman Perpaduan pula sebanyak 1,133 kediaman diagihkan oleh Clr. Puteri Holijah Muhammad Rali.
Ahli Majlis Zon 21, Kaunselor Haji Abu Bakar Haji Husin mengagihkan tong sampah di 399 kediaman di Kampung Rapat Jaya Tambahan dan Desa Rapat Jaya.
Manakala sebanyak 264 tong diedarkan Kaunselor Mohammad Sharif (Zon 3) di RPT Batu 10 Chemor.
Sementara itu Ketua Whip Ahli Majlis, Clr. Datuk Mazlan Abd Rahman (Zon 1) dengan bantuan JPP ketua kampung telah mengagihkan 375 tong sampah di Taman Jaya Delima, Taman Intan Jaya dan Taman Tanjung. Rambutan.
Risalah bertajuk 'Penyediaan Tong Sampah Di Premis Perniagaan Dan Rumah Kediaman' turut diedarkan kepada setiap penerima tong.
Ini dalam usaha berterusan MBI bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kaedah dan cara membuang sampah dengan betul.
Amalan penggunaan tong sampah perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandar ini demi meningkatkan kualiti persekitaran sepertimana matlamat yang disasarkan MBI.