IPOH - Usaha untuk meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan penduduk setempat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan di kawasan kejiranan masing-masing terus diperkasakan.

Menerusi inisiatif agihan tong sampah percuma, ia bagi memastikan penduduk menggunakan pemberian tersebut sebaik-baiknya manakala proses kutipan sampah lebih mudah.

Semalam, bertempat di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan Tambun, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengagihkan 1,300 tong sampah kepada penduduk Zon 2.

Ahli Majlis MBI Zon 2, Puteri Holijah Muhammad Rali berkata, pihak MBI bersama-sama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 2 melaksanakan agihan itu.

"Saya berharap dengan program yang bermanfaat seumpama ini akan meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan menjaga kebersihan di sekitar kediaman.

"Selain kediaman, kita juga perlu menjaga kebersihan alam sekitar untuk kebaikan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Perpaduan, Hulu Kinta.

Turut serta pada agihan itu ialah Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Clr Mahader Ahnad Mohamad Ayob; Clr. Dr. Richard Ng dan mantan Clr. Hj. Nasir Ismail.

Kira-kira 1,300 kediaman akan mendapat sebuah tong sampah yang disumbangkan oleh pihak MBI sempena program Menuju Ipoh Bersih 2023.

Program selama dua hari ini diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBI melibatkan lebih 70 petugas membantu menyerahkan tong-tong sampah.