IPOH: Sasaran untuk mengguna pakai secara menyeluruh sistem parkir tanpa tunai di Perak pada tahun ini, belum tercapai susulan kekangan yang ada di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pada permulaannya pihaknya menjangkakan pengunaan sepenuhnya sistem itu bermula tahun ini, namun maklum balas daripada PBT menyebabkan ia terpaksa dilanjutkan.

Nolee Ashilin berkata, sehubungan itu pihaknya memberi kelonggaran dan ruang untuk pihak terbabit menggunakan cara konvensional, sebelum sistem itu diwajibkan di negeri ini.

"Kita sudah ada PBT yang menggunakan sistem itu termasuk Park@Perak, sebenarnya ia perlu diguna pakai oleh semua PBT... disyorkan.

"Tetapi ada PBT yang mengambil inisiatif sendiri atau mengikut keadaan semasa kerana bukan semua tempat macam bandar raya Ipoh.

"Di mana mereka bersedia menerima sistem cashless ini, kalau kita berada di Majlis Daerah Selama contohnya, sistem ini mungkin menjadi satu masalah kepada penduduk.

"Proses untuk pengunaan sistem ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut daerah melalui PBT masing-masing

"Semua PBT ada guna pakai sistem Park@Perak tetapi tidak menyeluruh,maksudnya masih ada sistem tiket atau syiling seperti di Teluk Intan," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung penyelarasan sistem tersebut di negeri ini.

Ia susulan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengaplikasi sistem ini di beberapa kawasan, selain itu warga Ipoh digalakkan untuk memuat turun aplikasi Park@Perak sebagai persediaan pendigitalan sepenuhnya caj pembayaran tempat letak kereta mulai tahun 2024.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata pihaknya memahami keluhan dan kekangan yang dihadapi oleh pihak tertentu berhubung sistem tersebut.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri menyasarkan tempoh dua tahun lagi bagi sistem itu diguna pakai sepenuhnya.

"Ia berbeza mengikut keperluan setempat. Park@Perak boleh diguna di mana-mana di negeri ini, cuma buat masa ini kita belum wajibkan seperti mana MBI mahu laksanakan.

"Mungkin mereka yang tinggal di kampung belum lagi sampai ke tahap itu (parkir tanpa tunai), tiada telefon pintar dan sebagainya, kita kena pertimbang perkara itu.

"Sebenarnya memang kita sasarkan (parkir tanpa tunai) tahun ini sepenuhnya di Perak, tetapi kita dapat laporan daripada PBT ia tidak sesuai digunakan secara menyeluruh di setengah kawasan.

"Dalam masa dua tahun ini kita akan lihat sama ada perkara ini akan diwajibkan terus, jadi sasaran baharu mungkin kita tunda lagi dua tahun kerana tidak semua (PBT) sampai ke tahap itu lagi," katanya lagi.

Terdahulu, Nolee Ashilin hadir menyempurnakan pengumuman kerjasama platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak yang dikenali sebagai Perak Box Office.