IPOH - Isu keadaan lalu lintas di Bandar Seri Botani sememangnya memerlukan satu jalan penyelesaian dicari supaya ia tidak berlarutan selain memberi keselesaan kepada orang ramai.

Baru-baru ini Ketua Biro Strategik MCA Gopeng, Ir Dr. Lee Wai Yin bersama Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Kaunselor Annuar Baharuddin telah turun padang meninjau keadaan

Kesesakan lalu lintas sering berlaku ketika waktu puncak, khususnya banyak kenderaan yang memotong masuk dari stesen minyak menuju ke arah Bandar Seri Botani.

Setiausaha Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, CK Liew berkata, keadaan tersebut memburukkan lagi kesesakan.

"Kami telah bercadang kepada Ahli MBI supaya membina satu pembahagi jalan konkrit yang dapat membahagikan kenderaan kepada dua aliran lalu lintas.

"Ini supaya pemandu keluar dari stesen minyak boleh menuju ke arah Sekolah Shen Jai dan membuat pusingan U di sana," ujarnya.

Sementara itu, Annuar memberitahu pihaknya akan menyusunatur lawatan serta tinjauan bersama jurutera MBI dengan selanjutnya untuk mengkaji serta meneliti cadangan ini.

Diharapkan dengan ini, masalah penduduk setempat dapat diselesaikan dalam masa terdekat.