IPOH - Banjir kilat menyebabkan 93 mangsa di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang.

Sehingga pukul 8 pagi, jumlah berkenaan meningkat berbanding 55 semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir akibat hujan lebat itu pada pukul 10.05 malam.

“Sebanyak 33 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi banjir.

"Pada masa itu paras air semasa kira-kira setengah meter," katanya dalam satu kenyataan.

Hujan lebat yang berlanjutan sejak petang hingga tengah malam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam hantaran menerusi laman Facebook turut memaklumkan tentang kejadian itu.

"Susulan kejadian banjir di Chepor Dalam.

"Sebanyak 60 buah rumah dilaporkan terjejas akibat banjir tersebut. Saya telah meminta pihak berkaitan bantu segera mangsa banjir terutama membabitkan kerja pembersihan.

"Marilah kita mendoakan segala urusan mangsa terlibat dipermudahkan," ujar beliau.

Turut meninjau lokasi banjir dan keadaan penduduk malam tadi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Pusat Khidmat ADUN Manjoi turut menyumbangkan makan malam untuk 60 buah keluarga yang terlibat.