IPOH: Kadar pertambahan kenderaan pada waktu hujung minggu di bandar raya ini, menjadi antara faktor mengapa kegiatan ulat parkir kembali rancak dikesan di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) peka dengan rungutan dan isu tersebut, di samping sudah menjalankan penguatkuasaan bersama pihak polis.

Jelasnya lagi, antara kawasan yang menjadi sasaran ulat parkir ini adalah di sekitar Gerbang Malam, People's Park, termasuk Pekan Baru di sini, khususnya di waktu malam.

"Kita sudah perasan perkara itu dan memang penguatkuasaan pun sudah ditingkatkan.

"Tetapi untuk pengetahuan semua, sekarang Ipoh jika dibandingkan dengan tahun 2019, terutama hujung minggu memang kadar peningkatan kereta di sini lebih tiga kali ganda.

"Jadi boleh kata peluang lebih banyak (untuk ulat parkir) kerana kakitangan kita (penguat kuasa MBI) tidak bertambah.

"Sekarang pula banyak kawasan, ada kawasan parkir, dan gelap pula di samping pembangunan di kawasan tertentu. Di situ mereka (kegiatan ulat parkir haram) ini masuk," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ulat parkir yang dilihat kembali berleluasa di bandar raya Ipoh, yang dikatakan meresahkan orang awam.

Rumaizi ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Perak Sejahtera, di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Rumaizi berkata, pihaknya akan mengatur kerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti polis, bagi membanteras isu tersebut.

"Ada rondaan pada waktu malam yang dijalankan oleh penguat kuasa MBI bersama-sama anggota polis bagi meninjau lokasi-lokasi tertentu.

"Ada juga anggota polis yang berpakaian preman memberi maklumat, itu antara usaha yang kita jalankan sekarang.

"Mereka ini (ulat parkir) ada kumpulan mereka sendiri, kalau mereka menyalahi undang-undang akan dikenakan undang-undang di bawah akta polis, kita hanya tahan sahaja selebihnya polis yang akan ambil tindakan," katanya lagi.

Sebelum ini, difahamkan aktiviti atau kegiatan ulat parkir kembali berleluasa di sekitar bandar raya ini, khususnya di lokasi terpencil dan gelap pada waktu malam.

Situasi itu, sedikit sebanyak mendatangkan keresahan pada orang ramai kerana dikhuatiri akan mendatangkan kerosakan pada kenderaan jika tidak diberikan wang kepada individu terbabit.