IPOH: Keluasan bandar raya, ekonomi mampan dan biodiversiti di bandar raya ini, menjadi antara faktor penyebab mengapa Ipoh sesuai sebagai perintis Bandar Ekonomi Donat, yang pertama di rantau Asia.
Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planetari Sunway Centre Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, mengambil pendekatan yang dilakukan oleh Amsterdam sebelum ini dalam menerapkan model ekonomi itu, Ipoh tidak jauh beza dari sudut taburan penduduk.
Kata Dr Jemilah lagi, struktur atau asas kesinambungan yang ada di bandar raya ini selama ini, sedikit sebanyak menyokong ke arah merealisasikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027.
"Kalau nak mulakan satu 'pilot' (projek rintis) kita perlukan kepimpinan yang menyokong pendekatan membina ekonomi, dari segi mampan menggunakan konsep ekonomi regeneratif.
"Ia bermaksud ekonomi yang tidak merosakkan dan menimbulkan satu ekonomi yang lebih sirkular.
"Faktor lain ialah saiz Ipoh lebih kurang seperti Amsterdam, yang merupakan pilot pertama di dunia kepada pengunaan model bandar ekonomi donat. Rakyat di Ipoh lebih kurang 750,000 manakala Amsterdam kira-kira 800,000.
"Selain itu, di sini ada banyak biodiversiti, bukit bukau, sungai yang bersih. Aktiviti ekonomi mesti juga melalui penjagaan biodiversiti sedia.
"Ipoh juga merupakan satu kota antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tetapi mempunyai banyak cabaran daripada segi membangunkan ekonomi serta rakyat B40, jadi ini satu peluang untuk menjana ekonomi cara baharu serta inklusif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Simposium Ipoh Sejahtera 2030 di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumazi Baharin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Maisarah Ahmad, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pelbagai wakil agensi kerajaan dan swasta.
Dalam pada itu, beliau yang juga aktivis kemanusiaan sejak lebih 20 tahun lalu berkata, pendekatan model ekonomi itu boleh diterapkan di semua daerah di negeri ini secara berperingkat, bukan hanya berpusat di Ipoh.
"Situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia sebelum ini juga boleh dijadikan sebagai penggerak untuk kita wujudkan pembangunan yang lebih baik, khususnya kepada alam sekitar.
"Kita bukan hanya buat projek tapi kena fikir apa ia dapat sumbangkan kepada alam sekitar, kebaikan sosial di sini.
"Selepas Ipoh mungkin kita boleh bergerak ke Kuala Kangsar, Perak Tengah, Kampar dan sebagainya. Setelah itu, satu Perak boleh buat konsep model ekonomi ini, ini model yang agak baharu dan baik.
"Model ekonomi ini lebih kurang dengan model lain seperti sirkular dan lain-lain, bezanya ialah model lain tidak mengambil kira sempadan alam raya, kita sebagai manusia sudah musnahkan 83 peratus hidupan liar, juga lebih 50 peratus tumbuh-tumbuhan," katanya lagi.
Sementara itu, Rumaizi menambah, majlis yang dianjurkan itu merupakan bengkel yang menyatukan tonggak utama jabatan dan agensi negeri dalam perkongsian idea serta pendapat.
"Bengkel ini bertujuan sebagai 'refresher program' ke arah mencapai Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027.
"Model ekonomi donat akan digunakan sebagai 'dashboard' Perak Sejahtera 2030, supaya Perak tidak melangkaui sempadan alam raya, malah menitikberatkan keseimbangan ekonomi, sosial dan politik sejajar dengan matlamat," katanya.