IPOH: Kehadiran empat artis legenda sempena Majlis Amal Nostalgia Legenda (MANL) yang berlangsung di Royal Perak Golf Club (RPGC) Sabtu lalu, begitu bermakna dalam membantu anak seni yang terkesan selepas pandemik.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Penasihat MANL, YM Dr Raja Putra Shah di atas kejayaannya menjayakan sebuah majlis yang gilang-gemilang, penuh terharu dan mampu mengalirkan air mata dikalangan 600 orang penonton terdiri daripada usahawan tempatan, syarikat GLC dan agensi penyokong industri keusahawan negara.

Menurut Raja Putra Shah,walaupun sudah dua tahun COVID-19 melanda dunia, namun kesannya masih membekas sehingga ada di antara anak seni yang hilang pendapatan untuk menyara keluarga.

“Tidak terkecuali, ada di antara pemuzik terpaksa menjual alatan muzik kerana kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan penganjuran acara dalam bilangan yang ramai.

“Sewajarnyalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Nerv Global Sdn Bhd dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sememangnya bertepatan dalam mengumpul dana untuk membantu golongan artis yang memerlukan," katanya kepada Peraktastic yang juga mewakili Nerv Global Sdn. Bhd.

Lebih istimewa, kehadiran eksklusif Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah yang berkenan ke majlis malam itu, menyuntik semangat para artis dalam membuat persembahan.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta isteri dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Mengulas lanjut berhubung pemilihan empat artis legenda itu, Raja Putra Shah berkata ia bertepatan dengan fenomena dan nostalgia yang masih dekat di hati rakyat Malaysia.

"Kenapa kita memilih empat artis legenda ini, iaitu Shuib, Fredo, Jay Jay dan Zur Eda? Mereka merupakan artis seangkatan yang pernah popular dengan lagu hits masing-masing pada era 80-an.

"Kenangan Lalu nyanyian Fredo Flybaits, Mulanya di Sini nyanyian Shuib Freedom, Rindu Bayangan nyanyian Jay Jay Carefree dan Pelitaku nyanyian Zur Eda sememangnya membawa kenangan nostalgia dan menggamit memori, ujarnya.

Turut menyerikan majlis, artis jemputan, Iqa Nasra, finalis Mentor 5 dan Datin Maylene Yong, ikon penggiat kerja-kerja amal, selain kumpulan Migos, pemuzik graduan Aswara yang tampil membuat persembahan.

Kejayaan majlis malam itu, turut mendorong Raja Putra Shah untuk meneruskan kolaborasi majlis amal dengan jenama ‘Nostalgia Legenda’ bersama Karyawan dan Nerv Global Sdn Bhd.

Sedikit latar belakang mengenai Raja Putra Shah, beliau sememangnya tidak asing lagi dalam pengendalian program muzikal kerjasama dengan RTM dan TV3.

Katanya lagi, walaupun Karyawan tiada kuasa menghapuskan cabaran kesan pasca pandemik, sekurang-kurangnya mereka mampu membantu artis dan penggiat seni tempatan dengan inisiatif tersebut.

Majlis amal Nostalgia Legenda itu juga katanya mampu memberi aspirasi kepada umum bersandarkan slogan Kita Jaga Kita dan Keluarga Malaysia.

Pada masa yang sama, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, berkenan menyampaikan Anugerah United Entrepreneurs Awards (UEA) kepada 13 orang penerima berdasarkan rekod kecemerlangan dalam menyokong ekosistem keusahawanan negara. -PERAKTASTIC-