GOPENG - Perikatan Nasional (PN) Gopeng akan meletakkan calon pada semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan matlamat untuk menang lantas memberikan cabaran pada parti pesaing.

Justeru, jentera PN yang menggabungkan Bersatu, Pas, Gerakan dan rakan Bersekutu akan menggembleng gerak kerja berpasukan.

Pengerusi (Jentera Pilihanraya) PN Gopeng, Ahmad Ishak berkata, PN memiliki jentera kerja yang mantap dan kuat.

Jelas beliau yang juga Ketua Bersatu Gopeng, siapa juga calon yang bakal diletakkan pada kerusi Parlimen atau DUN, ia tidak dipersoalkan asalkan memberi kemenangan pada PN.

"Pakatan gabungan PN dengan Pas sangat mantap. Kita nak pergi jauh, jadi perjuangan kita kena ikhlas.

"Jentera bersatu dah bersedia ke belum untuk PRU?

"Kita akan mencipta sejarah kerana akan bertanding di kawasan kawasan yang tak ada sebelum ini, misalnya DUN Teja.

"Bersatu dengan PN kita hendak mencipta perpaduan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pelancaran Jentera PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng malam tadi.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Perak, Razman Zakaria.

Turut hadir Pengerusi PN Gopeng, Abu Bakar Hussain dan pemimpin-pemimpin cabang masing-masing.

Dalam ucapannya, Ahmad juga mengingatkan
jentera PN agar tidak melakukan provokasi kerana parti lain bukan musuh tapi cuma pesaing.

"Dalam PRU, serahkan pada rakyat untuk buat pilihan mereka

"Semoga parlimen Gopeng dapat menyumbang kepada negeri. Kemenangan dalam Parlimen atau DUN juga dapat mengukuhkan parti di peringkat Pusat dan negeri," ujarnya.