TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) yang berlangsung selama dua hari yang berakhir Selasa lalu.

Majlis gilang gemilang itu dianjurkan bersempena dengan genap 100 tahun usia penubuhan universiti pendidikan berprestij tanah air.

UPSI bermula dengan tertubuhnya Sultan Idris Training College (SITC), kemudian Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI).

UPSI dalam kenyataan memaklumkan, RUMIA pertama kali diadakan bersempena 100 Tahun ini, simbolik dna aikonik untuk memperingati tokoh masa dahulu yang ramainya dalam kalangan bangsa Melayu.

Mereka ini meliputi pejuang-pejuang pelajar, kakitangan dan tokoh-tokoh.

"Kemuncak program ini adalah Persidangan Rumpun Melayu Sedunia Dan Karnival Kearifan Lokal pada Selasa lalu.

"Segman Borak-Borak Budaya - Melestarika Keagungan Melayu di Pentas Dunia pula membariskan panel-panel berwibawa.

"Mereka ialah Cikgu Karmin Abbas dari Singapura; Dr Suraiya Chapakiya (Thailand); Dr Mohamad Zain Musa (Kemboja) dan Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (Malaysia)

" Barisan panel yang dihadirkan ini rancak berkongsi kejayaan dan bersemangat seakan pejuang melayu untuk berada di tempat sekarang," ujar kenyataan itu.

Sehari sebelumnya, majlis perasmian RUMIA telah disempurnakan oleh Pro Canselor UPSI, Tan Sri Dato' Haji Alimuddin Mohd Dom.

Program ini dianjurkan sebagai platform membincangkan isu-isu semasa, cabaran, dasar dan halatuju berkaitan peradaban dan warisan Melayu dalam pelbagai aspek.

Ia mencakupi bahasa dan kesusasteraan Melayu, falsafah Melayu, warisan dan budaya Melayu, politik, agama dan kepercayaan Orang Asal serta etnik pribumi.