IPOH: Susulan trajedi tanah runtuh yang melibatkan tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor bpagi semalam, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan arahan kepada semua pengusaha pelancongan agar memberhentikan sementara sebarang operasi khususnya aktiviti perkhemahan.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata sejak awal November lalu pihaknya telah mengenalpasti beberapa lokasi berisiko antaranya Hutan Lipur Kledang Saiong Eco Park, Meru dan Bukit Bakong, Chemor.

“Penutupan ini, adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pengunjung terperangkap daripada kejadian tanah runtuh atau pun kepala air.

“Tindakan ini juga adalah nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains di mana mereka menyatakan bahawa tanah di kawasan yang dikenalpasti mempunyai struktur tanah agak lembut disebabkan kadar hujan yang agak tinggi dan berisiko,” katanya kepada media selepas Majlis Pusingan akhir Battle Of The Buskers di Lorong Seni @Lorong Panglima di Ipoh, hari ini.

Trajedi tanah runtuh itu mengorbankan 21 nyawa daripada keseluruhan 94 mangsa dan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Pihak kementerian menggesa semua tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi berhampiran tanah tinggi dan sungai di seluruh negara dikosongkan segera bagi menggelakkan risiko kepada semua pengunjung.