IPOH: Kerajaan negeri sedang merangka perancangan dan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi meletak kamera litar tertutup (CCT),dalam usaha mengekang isu sampah haram secara tuntas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching memaklumkan perkara itu bukan sahaja memberi impak dalam menyelesaikan isu tersebut, sekali gus memastikan aspek keselamatan terjamin.

"Saya rasa di kebanyakan kawasan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Menglembu banyak cadangan untuk diletakkan CCTV, bagi memantau aktiviti sampah haram dan keselamatan secara keseluruhan.

"Di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) khususnya memang ada perancangan untuk kita tambah baik kemudahan awam dengan pemasangan CCTV.

"Buat masa ini kami dalam fasa perancangan untuk mengenal pasti lokasi terperinci dan sesuai utuk diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chaw Kam Foon (DAP- Menglembu) ketika sesi soalan lisan pada sidang DUN Perak ke-15 di sini pada Rabu.

Sementara itu, ketika ditanya Hafez Sabri (PAS-Manjoi) mengenai keperluan untuk menyediakan tong sampah roll on roll off (roro) dalam usaha mengekang kegiatan sampah haram, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan.

Hafez berkata, penyediaan tong sampah roro di lokasi strategik amat penting ketika ini, memandangkan tong sampah sedia ada tidak dapat menampung sampah dalam kuantiti besar.

Justeru, Sandrea berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanaka kutipan sampah secara berkala, bagaimanapun masih ada yang kurang peka tentang perkhidmatan pengumpulan sampah pukal lain.

"Kadang kala kita lihat ada orang awam yang kurang ambil tahu tentang perkhidmatan sampah kebun dan sebagainya. Dia buang sampah seperti perabot di lokasi sampah haram.

"Cadangan untuk tambah tong sampah roro di kawasan strategik, kita akan pertimbangkan dan ia perlu ambil kira penduduk di sekitarnya. Saya lihat isu sampah haram ini penting serta perlu ditangani lebih baik," katanya lagi.