IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merekodkan peningkatan sebanyak 538 kes sehingga 17 Disember lalu (Minggu Epid: 50) dengan satu kes kematian dilaporkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peningkatan itu adalah sebanyak 367 kes iaitu 214.6 peratus berbanding 171 kes dengan satu kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Berikut adalah lokaliti yang dilaporkan kejadian kes demam denggi semasa sehingga 19 Disember iaitu satu lokaliti wabak tidak terkawal di rumah pangsa Bercham.

"Lima kes dijangka tamat pada 1 Januari tahun depan, lapan lokaliti wabak terkawal di Taman Klebang Jaya (4 Kes), dan dijangka tamat pada 21 Disember.

"Selain itu Taman Emas Jati ( 3 Kes ), Taman Mengelembu Impiana Adril ( 3 Kes), Taman Ramai, Taman Tasek Baru, Taman Gelombang, Taman Tasek Indra Dan Taman Malar- kesemua lokaliti ini mencatat 2 kes dan dijangka tamat sebelum 31 Disember," katanya.

Rumaizi berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, kes chikungunya melaporkan sebanyak lima kes iaitu di Taman Gelombang dan dijangka tamat pada 28 Disember.

"Laporan kajian aedes dan pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak, mendapati kawasan kebun tanpa kebenaran dan lot kosong milik persendirian yang semak samun di kawasan berhampiran, selain taman perumahan menjadi punca utama tempat pembiakan jentik-jentik aedes.

"Justeru itu semua pemilik kebun dan lot kosong milik persendirian di sekitar bandar raya Ipoh diminta untuk memastikan penyelenggaraan berkala supaya kebun tanpa kebenaran dan lot milik persendirian tidak menjadi tempat pembiakan jentik-jentik aedes," katanya lagi.

Tambahnya, sehingga Isnin lalu, Unit Kawalan Vektor MBI telah mengeluarkan 178 tawaran kompaun bernilai RM89,000 di bawah Seksyen 13, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kerana kesalahan membiakkan atau memberi perlidungan kepada serangga pembawa penyakit.

Beliau berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi dari semua pihak terus dipertingkat dalam musim hujan yang dijangka berterusan.

Di samping usaha membasmi denggi secara berterusan diharap mampu mengurangkan kepadatan/densiti nyamuk aedes supaya berada pada tahap seminimum yang boleh pada setiap masa.