IPOH: Sebanyak sembilan notis penangguhan sementara operasi termasuk amaran berwaspada dikeluarkan kepada premis di bandar raya ini, yang menjalankan operasi di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi berlaku bencana kepala air, banjir dan kawasan cerun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk memastikan mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya lagi, sebanyak lapan notis penangguhan sementara operasi dan satu notis amaran berwaspada telah dikeluarkan kepada premis baru-baru ini, yang berkuat kuasa sehingga Rabu (21 Disember).

"Berikutan dengan pemakluman amaran pada 16 Disember dari Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berterusan sehingga penghujung tahun.

"Terutama di negeri-negeri pantai timur. Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan arahan untuk penangguhan operasi di lokasi yang berisiko tinggi sehingga 20 Disember.

"Antara premis yang telah diberi notis adalah, D' Aini Chalet; M&F Agro Resort, Dmec Waterfall Cafe,Tingkat Valley, D' Sungai Meru, D' Lereng Adventure Camp & Resort, Sunnebeam Paradise, Glamping & Floating Villa Lost World Of Tambun dan The Banjaran Hotspring Retreat," katanya.

Rumaizi berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Khamis.

Katanya lagi, pemantauan MBI baru-baru ini mendapati hampir kesemua pemilik pusat rekreasi kawasan berisiko sedar dan akur dengan arahan kementerian untuk penangguhan operasi sehingga semalam.

Beliau menambah, satu pasukan pemantau terdiri dari jabatan dalaman MBI dan agensi teknikal telah diarah untuk menjalankan pemantauan berkala ke atas 11 lokasi berisiko tinggi termasuk pusat pelancongan.

Katanya, usaha itu dibuat supaya pencegahan dan langkah keselamatan diambil sekiranya terdapat tanda-tanda bahaya dalam tempoh masa musim tengkujuh yang berlarutan.

"Semua pemilik premis pusat rekreasi, perkelahan dan perkhemahan diminta mematuhi arahan dari pihak berkuasa dan agensi berkaitan dari masa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan orang awam," katanya.