IPOH- Video pendek ‘Kupi & Roti’ yang diketengahkan oleh Muhammad Amran Azhar, 27, berjaya menarik perhatian pihak juri untuk muncul sebagai johan pertandingan Perak Food Hunter 2.0 (PFH2.0).

Menurut Amran, idea menghasilkan video pengusaha kecil yang ditemuinya di Taman Rekreasi Padang Polo menimbulkan minat untuk dijadikan bahan bagi mencuba nasib kali kedua dalam pertandingan PFH2.0.

“Saya pernah menyertai pertandingan ini pada musim pertama, namun saya hanya memenangi hadiah saguhati. Saya tidak menyangka penyertaan saya kali ini telah menarik perhatian pihak juri.

“Kupi & Roti merupakan ‘peniaga payung’ di padang polo yang beroperasi setiap Selasa hingga Ahad bemula pukul 3.00 petang hingga 7.00 petang.

“Saya melakukan pengambaran Kupi & Roti ini pada hari pertama mereka menjalankan perniagaan di Kafe Chokodok Raggae yang terletak di Jalan Iskandar, Taman Jubilee, Ipoh. Waktu perniagaan mereka ialah 8.30 malam hingga 1.00 pagi,” katanya kepada Ipohecho sewaktu ditemubual selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan ‘Perak Food Hunter’ 2.0 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh semalam.

Amran menerima wang tunai RM7,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh mantan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed yang juga selaku penaung program PFH2.0; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengurus Besar Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Ir.
Saiful Azzuan Aznam.

Naib juara tempat dimenangi oleh Muhammad Hisyam Mohd Poyzai membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Tempat ketiga Muhammad Shahrul Azhar Abd Sukor menerima RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan. Seramai enam pemenang saguhati turut menerima hamper dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, YB Mohd Azlan Helmi Helmi, berkata elemen budaya makanan memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesuatu destinasi khususnya bagi pelancongan daripada luar.

“Pertandingan PFH2.0, bertepatan dalam usaha mengukuhkan Perak sebagai satu destinasi pelancongan yang mempunyai kepelbagaian citarasa makanan yang menarik dari berbilang bangsa. Secara tidak langsung ia mampu menyumbang pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri Perak.

“Menerusi Belanjawan 2023 di bawah Fokus 2 iaitu Tabdir Urus Projek Berkepentingan Negeri menunjukkan kerajaan negeri amat prihatin akan sektor dan program pelancongan di negeri Perak.

“Saya menyambut baik sebarang inisiatif yang memberikan nilai tambah positif kepada industri pelancongan seperti pertandingan PFH2.0 ini.

“Program seumpama inilah mampu membantu semua pihak dalam memastikan industri pelancongan kembali meriah seperti sebelum pandemik Covid-19,” ujarnya. -PERAKTASTIC-