IPOH- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan menaik taraf Pasar Besar Ipoh,.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming berkata pelaksanaan setiap projek bernilai RM1 juta itu akan memberi kemudahan dan manfaat kepada para peniaga dan pengunjung pasar khususnya penduduk setempat.

“Projek naik taraf Pasar Besar Ipoh melibatkan kerja-kerja baik pulih lantai pasar basah dan kerja-kerja yang berkaitan dijangka bermula pada bulan Mac ini setelah proses tender pada Februari 2023.

“Manakala Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih daripada 50 tahun itu juga merupakan pasar lama yang uzur dan daif. Justeru, pembangunan semula pasar ini dapat menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Pembangunan semula ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar dan perkhidmatan awam. Ia juga bakal mewujudkan persekitaran yang lebih selesa termasuk
ruang parkir kenderaan yang mencukupi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada media semasa siri walkabout beliau ke Pasar Besar Ipoh dan Pasar Pasir Pinji, Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md. Daud; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, YB Sandrea Ng Shy Ching; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Noor-Ihsan Che Mat.

Pada masa yang sama, Nga Kor Ming turut menyerahkan surat kelulusan Projek Pembinaan
Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan surat kelulusan Projek Naik Taraf Pasar Besar Ipoh kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai penempatan tapak perniagaan sementara buat 229 peniaga sehinggalah siap pembinaan Pasar Pasir Pinji yang baharu.

Menurut Nga Kor Ming lagi, KPKT bersedia untuk menimbang permohonan bagi membina semula pasar-pasar awam kepada MBI.

“Untuk makluman, MBI telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf Pasar Tanjung Rambutan pada tahun 2013 dan Pasar Ayam dan Parkir Bertingkat Ipoh pada tahun 2017.

“Diharapkan, pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan naik taraf Pasar Pasir Pinji dan Pasar Besar Ipoh ini akan memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh penduduk setempat,” ujarnya.