IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuka iklan tender secara terbuka untuk projek membina Pasar Pasir Pinji baharu.

Datuk Badar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud berkata iklan tender secara terbuka itu dijangka bermula Januari 2024.

“MBI berharap mana-mana kontraktor yang berminat akan pembinaan projek Pasar Pasir Pinji bolehlah bersedia membuat permohonan yang dibuka kepada umum.

“Bangunan pasar lama akan dirobohkan selepas selesai pemindahan peniaga ke pasar sementara yang dijangka bermula pada pertengahan 2024. Para peniaga akan ditempatkan sementara di tapak Padang Kilat milik Tenaga Nasiona Berhad (TNB).

“Projek ini dijangka akan siap dalam tempoh 24 bulan iaitu sehingga pertengahan 2026. Bangunan pasar ini adalah bangunan satu tingkat bersama ‘basement parking’. Bilangan lot peniaga yang disediakan berjumlah 187,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumaizi itu berikutan pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming yang meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan menaik taraf Pasar Besar Ipoh.

Pada masa yang sama, Rumaizi juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana turut memberi peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Pasar Besar Ipoh.

“Projek naik taraf Pasar Besar Ipoh melibatkan kerja-kerja baik pulih lantai pasar basah dan kerja-kerja yang berkaitan dijangka bermula pada bulan Mac ini setelah proses tender pada Februari 2023.

“Ini merupakan berita baik kepada peniaga-peniaga yang selama ini mahukan Pasar Besar Ipoh di baik pulih serta di naik taraf demi menjamin keselesaan dan keselamatan mereka,” katanya.