IPOH - Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) meneruskan program sesi bual bicara santai iaitu Ngopi & Kerjaya Siri 1 bagi tahun ini dengan skop tajuk Pengaruh Media Era Baru.

Program Ngopi & Kerjaya ini bersiaran secara langsung menerusi paparan pada laman Facebook Pasak.

Menampilkan panel jemputan iaitu pengamal media, Zaki Salleh yang merupakan seorang wartawan bebas dan penulis bagi beberapa laman berita serta portal.

Beliau yang berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang kewartawanan termasuk 14 tahun bersama akbar Kosmo! dengan jawatan akhir sebagai penolong pengarang berita.

Sesi dikendalikan oleh moderator program iaitu Amirul Zahiruddin.

Antara yang dibincangkan ialah bagaimana pengaruh media baru memberi perubahan yang besar dalam kehidupan sekarang.

Ini khususnya impak media terhadap pengguna untuk berkongsi atau memuatnaik cerita dan komen yang lebih ringkas dengan penggunaan bahasa rojak.

Turut disentuh ialah kesan paparan berita palsu menerusi platform media sosial serta sisi negatifnya pada masyarakat.

Dalam perkongsian pengalamannya, Zaki menggalakkan para pelajar yang meminati bidang penulisan dan komunikasi agar jangan ragu-ragu jika ingin menceburi kerjaya wartawan.

Katanya, banyak institusi pengajian menawarkan pengajian ini, malah disiplin lain juga boleh menceburi kerjaya ini sekiranya ada minat dan kesungguhan.

"Bidang kewartawanan kemahirannya sangat meluas dan tidak terhad pada penulisan sahaja. Ia merupakan kerjaya yang dinamik seiring dengan keperluan semasa.

"Ini kerana kemahiran sebagai wartawan tetap diperlukan dalam bidang komunikasi cuma yang membezakan hanyalah pada platform atau cara penyampaian.

"Jika dahulu adalah era analog seperti cetakan atau penyiaran tetap kini telah beralih pada era digital tetapi fungsi media atau wartawan tetap sama," ujarnya.