IPOH- Semakin hari, semakin buntu! Begitulah seribu satu persoalan yang berlegar di fikiran Mohamed Safri Sabri Zainudin, 35, bapa kepada Nur Aqilah Zahra Mohamed Safri Sabri, berusia lapan bulan yang menderita penyakit Bilateral Lambdoid Suture Craniosynostosis.

Mohamed Safri berkata, anak bongsunya itu seharusnya menjalani pembedahan pembentukan kepala yang tidak sempurna sejak lahir.

"Anak saya perlu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan segera kerana struktur kepalanya semakin tertekan dan membesar.

“Doktor menasihatkan Nur Aqilah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sekiranya terlewat, dikuatiri membawa risiko yang lebih kritikal. Kos pembedahan keseluruhannya masih belum dapat dianggarkan.

"Sebelum itu, rawatan susulan seterusnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada bulan hadapan, doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas anak saya dan mengeluarkan laporan untuk rujukan doktor pakar di HKL," katanya ketika ditemubual dirumahnya di Lahat.

Mohamed Safri, sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerana kesukaran membahagikan masa untuk menguruskan keluarganya.

Beliau sekarang melakukan kerja-kerja sendiri termasuk menjual barang kitar semula dan mengambil upah mesin rumput bagi menampung keperluan perbelanjaan Nur Aqilah, anak sulungnya Muhammad Aqil Zafran, 8, bersekolah darjah dua dan Nur Aqish Zahra, 4.

Purata pendapatan sebulan beliau tidak menentu adakalanya RM1,000.00 sebulan mengikut peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Sementara itu isterinya Zuraida Idris, 35, berkata pendapatan bulanan suaminya hanyalah cukup makan sahaja.

"Kami harus membayar sewa rumah RM500.00 sebulan, bil-bil bulanan, perbelanjaan persekolahan anak dan pelbagai lagi. Sememangnya tidak mencukupi.

"Apa yang membimbangkan kini, sebelah telinga Nur Aqilah telah disahkan mula dimasuki air dari dalam kepala oleh doktor.

"Kami harus mengumpul dana untuk perbelanjaan dan kos pembedahan Nur Aqilah sekiranya doktor mengarahkan untuk melakukan sedemikian di HKL," katanya kepada Ipohecho.

Orang ramai yang ingin meringankan bebanan keluarga ini, menyalurkan sumbagan ke akaun Mohamed Safri Sabri (47 99 17 56 31 Public Bank). Nombor telefon 011 3956 3002 atau Zuraida Idris 010 9001 782 Alamat rumah, No 162, Tingkat Zarib 3, 31650 Lahat, Ipoh. -PERAKTASTIC-