IPOH - Hospital Ar-Ridzuan dan ReGen Rehab Hospital hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam penyediaan kesihatan berkaitan rawatan rehabilitasi.

Memorandum ini bagi mewujudkan kerjasama untuk menyediakan kemudahan rehabilitasi di Hospital Ar-Ridzuan di sini.

ReGen Rehab Hospital merupakan hospital pemulihan swasta pertama di negara ini yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor.

Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Dahari Masud berkata, penyediaan rawatan ini bakal mempelbagaikan lagi perkhidmatan di hospital tersebut.

Menurut beliau, melalui kepakaran kedua-dua pihak, kolaborasi ini diharapkan dapat memperkasa individu berkeperluan khas ke arah hidup yang lebih sihat dan berkualiti.

"Mengikut Laporan Data Kesihatan 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan hampir 2.8 juta orang pesakit menerima rawatan rehabilitasi di Malaysia.

"Peningkatan kadar pesakit yang memerlukan rawatan rehabilitasi ini menunjukkan keperluan dalam penyediaan fasiliti serta perkhidmatan secara menyeluruh khususnya di utara Semenanjung.

"Selain pesakit biasa, kita juga akan menawarkan rawatan rehabilitasi kepada veteran tentera di Perak yang selama ini perlu ke Hospital Tuanku Mizan, Kuala Lumpur," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani MoU tersebut di Royal Perak Golf Club.

MoU dimeterai antara Dahari yang mewakili Hospital Ar-Ridzuan manakala ReGen Rehab Hospital diwakil Ketua Pegawai Eksekutif, Hanafi Salehuddin.

Kolaborasi strategik ini juga mendapat sokongan syarikat induk Hospital Ar-Ridzuan iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) Sdn. Bhd. (PSB).

PSB pula bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi di negeri Perak dan juga sebagai sayap ekonomi kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).