IPOH - Warga 2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) bertempat di Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah.

Program kemasyarakatan ini merupakan kerjasama antara pasukan ini bersama warga pendidik serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Sanai.

Turut sama turun padang ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid serta Pegawai Pendidikan Daerah Padang Terap, Ahmad Bashori
Rahim.

Menurut kenyataan 2 RRD, inisiatif ini dikoordinasikan oleh Ketua Kompeni Bantuan, Mejar Mohammad Noor Hami Md Saad bersama Guru Besar SK Padang Sanai, Jamal Abidi Yop@Idris.

"Gotong-royong melibatkan pembersihan kawasan sekitar sekolah, menebang pokok, membersihkan sistem perparitan longkang sekolah serta pembinaan kolam ikan.

"Turut dilakukan ialah penanaman pokok bunga sebagai simbolik perasmian acara ini antara Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Memerintah 2 RRD dan juga guru besar sekolah," ujarnya.

Turut hadir adalah Pegawai Memerintah 2 RRD, Lt Kol Kamarul Bahrin Razali serta warga 2 RRD yang bertugas di Pos Penempatan Sahara dan Lampara.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak sekolah kepada pasukan 2 RRD diikuti dengan penyampaian cenderahati.

Pelaksanaan program kemasyarakatan ini telah memberi peluang kepada warga 2 RRD memberi khidmat bakti kepada masyarakat setempat.