IPOH:Seramai 1800 warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyertai 'Executive Talk' bersama Datuk Bandar Ipoh di Stadium Indera Mulia hari ini.

Ia turut dihadiri oleh Ahli Majlis, Ahmad Munir Ishak; Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan, pegawai dan anggota MBI.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata dalam usaha untuk meneruskan kecemerlangan MBI mentadbir kawasan pentadbiran Bandaraya Ipoh beliau menggariskan empat fokus penting untuk dijayakan pada tahun ini iaitu W-Waste (sisa), I-Infrastructure (infrastruktur), T-Tourism (pelancongan) dan E-Environment (alam sekitar).

"Keempat-empat fokus yang perlu dijayakan ini adalah berpandukan kepada hala tuju yang digariskan dalam Pelan Strategik Ipoh Bestari 2030, Pelan Perak Sejahtera 2030 dan gagasan Membangun Malaysia Madani.

"Kemampuan MBI untuk menjayakan keempat-empat fokus ini akan membina momentum berterusan untuk MBI mencapai visi dan matlamat Perak Sejahtera 2030 dan gagasan Membangun Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rumaizi berkata, warga MBI diharap akan membulatkan tekad dan keazaman untuk terus memberi komitmen tinggi dalam satu pasukan agar setiap perkara yang dirancang dan dilaksanakan dan sekali gus memberi limpahan kebaikan kepada wargakota.

"Semoga program 'Executive Talk' ini akan menjadi platform untuk menjayakan semua perancangan yang telah dirancang oleh MBI," katanya.