KERIAN - Satu jalan penyelesaian akan dicari bagi mengatasi masalah berkaitan pengairan dan saliran yang dihadapi pesawah di kawasan Gunung Semanggol.

Isu berkenaan sebelum ini telah dibangkitkan pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun berkata, pihaknya akan memberikan perhatian pada perkara itu.

Menurut beliau, ini kerana pengairan menjadi sumber penting dalam pengeluaran hasil padi.

"Saya bersama pihak Jabatan Pertanian negeri dan agensi lain yang terlibat memandang serius berkenaan dengan isu ini.

"Kita akan bertindak segera untuk mengangkat permasalahan ini ke peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS)," ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebook.

Mohd Zolkafly sebelum itu pada Selasa lalu meninjau sawah padi di kawasan Gunung Semanggol untuk meneliti isu dan permasalahan yang dibangkitkan.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian.

Turut hadir ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Dato’ Sham Mat Sahat.

Perak mempunyai dua kawasan jelapang padi iaitu di Kerian dan Seberang Perak yang menyumbang kepada kadar sara diri (SSL) di Malaysia.

Mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Pertanian negeri, purata hasil pengeluaran padi meningkat pada tahun 2021 iaitu sebanyak 3.3 metrik tan per hektar berbanding 3.1 metrik tan per hektar sebelumnya.