Oleh Balqis Jazimah Zahari

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Teluk Intan menyita 11,000 liter minyak disyaki diesel yang cuba diseleweng dalam satu serbuan di sebuah premis dalam kawasan Perindustrian Anson di sini semalam.

Serbuan bermula kira-kira jam 9 pagi itu hasil risikan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa selama lebih seminggu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN dan Kos Sara Hidup Negeri Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, satu lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 11 tangki fibre berkapasiti 1,000 liter yang berisi minyak disyaki diesel berada di premis berkenaan.

"Pemeriksaan turut menemui dua buah lori tanah bertutup kanvas yang diatasnya terdapat tangki skid yang digunakan untuk mengumpul minyak diesel yang dibeli di stesen minyak sekitar Teluk Intan melalui tangki minyak asal yang diubahsuai," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati premis yang diperiksa tiada sebarang lesen atau kebenaran yang sah untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

"Sehubungan itu, KPDN Teluk Intan bertindak dengan menyita anggaran sebanyak 11,000 liter minyak yang disyaki diesel termasuk dua lori yang membawa dua tangki skid.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM201,000," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak diesel dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen, permit atau surat kebenaran yang dibenarkan oleh pengawal.