IPOH - Ipoh kini menjadi bandar ke-5 di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Putajaya, Cyberjaya, dan Johor Bahru dan yang pertama di Wilayah Utara yang mempunyai capaian akses 5G berkelajuan 1GB per saat.

Ia hasil pasukan 5G Greater Ipoh yang diketuai oleh Datuk Bandar, Dato' Rumaizi Baharin, bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Digital Nasional Berhad, SKMM Perak dan Telekom Malaysia (™).

Sehingga kini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan kick-off 14 projek termasuk sebuah projek utama Bandar Pintar Ipoh iaitu Ipoh Integrated Command Centre (IIOC).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, IIOC merupakan jantung kepada perkembangan Ipoh ke arah bandar pintar.

Menurut beliau, dengan adanya sebuah pusat kawalan yang canggih seperti ini, ia akan merealisasikan impian Bandar Ipoh untuk mencapai status Smart Green City menjelang 2030.

"Walaupun Projek IIOC ini diletakkan pada status projek Jangka Panjang, namun dengan iltizam dan kerjasama yang diketuai oleh Datuk Bandar, ia telah berjaya dilaksanakan dalam waktu masa yang singkat.

"Projek IIOC ini merupakan nadi kepada Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh yang akan menjadi sebuah pusat kawalan pintar yang mempunyai keupayaan memproses Big Data dengan menggunakan perisian Artificial Inteligence (AI) , Internet of Thing (IoT)," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC) serta diberikan Taklimat 5G di Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC), UTC Perak pagi tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

Mengulas lanjut jelas Sandrea, pusat kawalan pintar ini sekali gus melicinkan urus tadbir pembandaran MBI kepada urustadbir yang berintensifkan High-Tech, sensor dan peranti.

Katanya, disamping itu juga, TM selaku rakan strategik telah membantu MBI dalam mengadaptasi pelbagai Smart Solution dan dengan kerjasama jitu.

Sementara itu, Rumaizi memaklumkan,
sehingga kini, lipcutan rangkaian 5G di Kawasan Pentadbiran MBI telah mencapai 42 peratus kemajuan kerja

Menurut beliau, daripada 208 kawasan yang ditetapkan sebanyak 86 lokasi telah berada dalam capaian rangkaian.

"Ia merangkumi Kawasan Pusat Bandar, Klebang, Bercham, Tambun, Canning Garden, Ipoh Garden, Meru, Ampang, Gunung Rapat dan Pasir Puteh.

"Momentum ini akan berterusan dan sehingga kini, sebanyak 208 tapak rangkaian 5G akan dipancarkan di sekitar daerah Kinta," ujarnya.