MANJUNG - Fokus bantuan pada keperluan persekolahan dan kebajikan menjadi perkara yang diutamakan dalam menyantuni golongan memerlukan dalam DUN Pangkor.
Bagaimana pun, bantuan pada kelompok lain juga diberikan perhatian serta tidak dipinggirkan demi memastikan tiada penduduk keciciran.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, malah bantuan diberikan pada semua peringkat rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan layak dibantu.
Justeru katanya, penduduk DUN Pangkor boleh berhubung terus dengan datang ke Pejabat Pusat Khidmat DUN Pangkor atau berhubung dengan wakil di kawasan masing-masing.
"Pejabat Pusat Khidmat DUN Pangkor di Taman Permai Jaya, Lumut bersebelahan Hotel CK sentiasa terbuka dikunjungi semasa waktu pejabat.
"Saya juga telah meminta wakil-wakil pegawai di kawasan untuk membantu.
"Saya lebih memandang kebajikan seperti anak yatim, ibu tunggal, golongan kurang berkemampuan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi ziarah dan ramah-mesra bersama komuniti nelayan di Pantai Teluk Senangin di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 20 keluarga nelayan menerima sumbangan kotak berkongsi rezeki yang berupa barangan keperluan harian.
Dalam pada itu kata Norhaslinda, penduduk yang ingin memohon sebarang bantuan atau keperluan hendaklah memastikan segala maklumat dilengkapkan agar memudahkan urusan permohonan.
Sebagai contoh katanya, untuk memohon bantuan perubatan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat maka maklumat lengkap berkaitan pemohon dan dokumen-dokumen sokongan hendaklan disiapkan.
"Ini kerana setiap permohonan ada prosedur tetapi proses ini akan mudah apabila kita menyediakan dokumen yang diperlukan.
"Fungsi wakil rakyat adalah sebagai pemudah cara, dan saya akan membantu dalam urusan-urusan hal-hal keperluan selain aduan," ujarnya.