Oleh Balqis Jazimah Zahari
IPOH: Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung kecurian sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) 'lantanid' di Mukim Kenering, Gerik sepertimana kes kecurian mineral yang berlaku di Kedah baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, susulan isu itu pihaknya menegaskan Perak setakat ini tiada menerima laporan berkaitan dengan cubaan atau pun kegiatan mencuri 'lantanid'.
"Ini kerana kita adalah kerajaan negeri yang pertama yang diberi lesen sebagai projek perintis, yang mana kita membuat projek itu terikat dan tertakluk sepenuhnya dengan prosedur operasi standard (SOP).
"Jadi tiada ruang orang untuk masuk membuat kerja itu (mencuri) dan belum juga ada SOP untuk menjual mineral itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Saarani turut mengulas berhubung berita tular di media sosial yang mendakwa sungai berubah warna menjadi hijau susulan projek pelombongan Lantanid berkenaan.
"Kalau ada (bertukar hijau) bermakna Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga Kementerian Kesihatan akan membuat kajian sejauh mana betul atau tidak air itu bertukar warna disebabkan oleh perlombongan Lantanid.
"Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan dan saya tidak mendapat maklumat berkenaan itu lagi," katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Kerajaan Kedah mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, namun tidak membabitkan syarikat yang dibenarkan melakukan kajian di tapak berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, kegiatan itu sama sekali tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi mengkaji potensi mineral itu.
tamat