IPOH - Bermula secara kecil-kecilan, usaha Hamidah Sulaiman menjalankan perniagaan makanan sejuk beku kini mencipta kejayaan apabila produknya dikenali.

Jenama Idda's Frozen bukan lagi asing, malah produk sejuk beku yang dihasilkan turut dijual sehingga di luar negeri Perak khususnya di utara Semenanjung.

Antaranya di rangkaian pasaraya Lesong Mart, Agrobazar dan rangkaian Jimat-jimat Fresh Mart.

Idda's Frozen yang diusahakan di sebuah premis di Taman Rafflesia, Gerik kini boleh berbangga apabila mengeluarkan 20 jenis produk makanan.

Produk yang dihasilkan seperti karipap, roti canai, samosa, popia, donut, kuih keria, karipap pusing, masala wadih dan pulut panggang.

Kejayaan jenama ini juga hasil bantuan serta sokongan agensi seperti Jabatan Pertanian, Mara dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

Menurut Hamidah, hasratnya kini adalah untuk melangkah lebih jauh selain mengukuhkan pasaran sedia ada.

Katanya, apa yang dilakukan ini bukan semuanya mudah, namun berkat usaha yang tidak mengenal jemu selama hampir 18 tahun.

"Sehingga kini, terdapat 20 produk sejuk beku yang telah dihasilkan menembusi pasaran sekitar Perak, Lembah Klang, Perlis, Pulau Pinang dan Johor.

"Bantuan pelbagai sudut yang diterima juga telah membantu dalam memastikan perusahaan kami terus berkembang serta berdaya saing sebaris dengan produk-produk sejuk beku lain,"ujarnya menerusi perkongsian dalam laman Facebook.

Idda’s Frozen kini dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan di Batu Gajah pada bulan Mac ini demi meluaskan lagi penjualan produk-produknya.