IPOH: Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan ketika melawan kanser, namun ketabahan para pejuang kanser wajar diberikan penghormatan.
Perkongsian beberapa orang pejuang kanser dalam kalangan wanita di sini, hari ini sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada umum.
Diakui beban yang ditanggung oleh pesakit dan juga ahli keluarga yang terbabit, bukan calang-calang kerana banyak proses yang perlu ditempuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed berkata, ada dalam kalangan mereka terpaksa berhenti kerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Alhamdulillah petang ini saya berkesempatan bersua muka bersama para pejuang kanser yang telah menempuh suka duka dalam kehidupan akibat penyakit barah.
"Hormat dan cukup menginspirasikan. Itu yang saya boleh zahirkan kerana ada dalam kalangan mereka ini yang terpaksa berhenti kerja.
"Ada juga terpaksa menamatkan perniagaan serta meninggalkan cita-cita bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Hati saya cukup tersentuh sepanjang mendengar perkongsian perjalanan serta pengalaman hidup tiga orang pejuang kanser hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir program Hi-Tea WakeUp sempena sambutan Hari Kanser Sedunia 2023: 'Kehidupan Positif Selepas Kanser' Bersama Pejuang Kanser Negeri Perak.
Tambah Salbiah, beliau juga akan menyalurkan sumbangan peribadi setiap bulan kepada Persatuan Pink Champion Perak dan Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Perak.
"Dalam usaha terus memberi dorongan dan rangsangan pada para pejuang kanser, saya memutuskan untuk membuat sumbangan peribadi setiap bulan kepada dua persatuan tersebut.
"Semoga sumbangan kecil ini saya doakan dapat membantu persatuan ini untuk terus menjadi sistem sokongan yang kuat kepada para pejuang kanser agar terus mendokong satu sama lain," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga akan terus bersama-sama menyokong dan membantu mereka sedaya upaya.
Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat