IPOH - Pemilik kedai roti dan kek tersohor di bandaraya Ipoh, Noor Jahan Bakery, Habib Rahiman P. Mohamed Salleh meninggal dunia pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham dikongsi Pengerusi Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak, Shahrul Rahman laman Facebook beliau.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Fatimah Ipoh pukul 5.20 pagi dan dipercayai sedang mendapatkan rawatan di sana.

"Innalillahiwainnailahirojiun. Dukacita dimaklumkan bahawa pemilik kedai roti dan kek yang legend sejak 1902, Noor Jahan Bakery, Encik Habib Rahiman Bin P. Mohamed Salleh telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Fatimah Ipoh jam 5:20 pagi.

"Sama-sama kita berdoa untuk Allahyarham dan hadiahkan bacaan Al-fatihah," kongsi hantaran tersebut.

Noor Jahan Bakery yang selama ini dikenali kerana menjual donat berharga 80 sen merupakan antara kedai tertua yang masih beroperasi di tengah bandaraya Ipoh sejak 100 tahun lalu.

Perniagaan itu dimulakan oleh datuk Allahyarham Habib pada tahun 1902 sebelum diteruskan oleh bapanya.

Selain donat, antara makanan lain yang menjadi pilihan para pelanggan ialah roti bantal, roti benggali dan kek buah.

Selain pelanggan tempatan, ramai juga yang datang dari Lembah Klang khususnya semasa cuti sekolah semata-mata untuk mendapatkan donat dan lain-lain jualan di kedai ini. -PERAKTASTIC-