IPOH - "Teruknya, kenapa keadaan sebenar takImages and Links sama sepertimana cerita-cerita dibaca dalam laman media sosial dan blog?,"

Itu komen seorang pelancong dari Denmark, Eric, sambil menggeleng-gelengkan kepala semasa melihat keadaan sekitar bangunan Stesen Keretapi Ipoh.

Luah Eric, dia sama sekali tidak menyangka persekitaran stesen keretapi itu dalam keadaan tidak berjaga kerana dari jauh kelihatan sangat gah.

Katanya, malah Stesen Keretapi Ipoh sering digambarkan sebagai indah dan kaya dengan senibina era kolonial yang sangat dibanggakan.

"Antara sebab saya singgah ke Ipoh bersama rakan sebelum ke Thailand ialah hendak melihat senibina di sekitar bandar Ipoh.

"Saya akui bangunan stesen keretapi ini sangat cantik tetapi keadaan yang tidak terjaga mencemarkan keindahan tersebut," luahnya.

Rasa kecewa disuarakan pelancong Australia, Matthew Anderson, baginya Stesen Keretapi Ipoh mempunyai nilai sejarah tersendiri.

"Di hadapan stesen ini dibina tugu peringatan perang dan ia adalah untuk memperingati sejarah.

"Banyak peristiwa sejarah yang berkaitan dengan Ipoh berlaku di pekarangan stesen keretapi ini," katanya.

Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback, iaitu arkitek British sama yang membina bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Stesen keretapi Ipoh yang awal merupakan bangunan kayu sebelum pembinaan stesen keretapi kedua dibuat menggantikan stesen lama bermula pada tahun 1914.

Ia siap pada 1917 kerana kekurangan bahan binaan dan kenaikan harga serta kos pembinaan semasa Perang Dunia Pertama.

Stesen berusia lebih 100 tahun ini yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna rel ke Ipoh menerima kejadian ribuan pengguna setiap hari termasuk pengunjung luar.

Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Khairul Mahadi Mohamad, keadaan persekitaran stesen itu sepatutnya dijaga kerana Stesen Keretapi Ipoh merupakan khazanah warisan.

Katanya, perkara itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik bangunan kerana membiarkan stesen tersebut sepertimana dalam keadaan sekarang adalah tidak wajar.

"Saya pun tak faham apa yang menghalang pihak berwajib nak menjaga atau menyelenggara bangunan bersejarah seperti ini.

"Ribuan pengguna melihat keadaan stesen ini setiap hari, jadi tak kanlah tiada sesiapa dalam kalangan pihak berwajib yang ambil peduli," ujarnya. -PERAKTASTIC-